Firman Allah SWT: "Sesungguhnya kami menurunkan (Al Quran) pada malam Lailatul Qadar. Dan tahukah kamu apakah Lailatul Qadar itu? Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan." (Surah Al Qadr: 1-3)
Adalah Rasulullah SAW mencari-cari malam Lailatul Qadar dan menyuruh para sahabatnya mencari-cari malam tersebut.
Baginda mengejutkan keluarganya supaya bersama-sama beribadat pada sepuluh malam yang terakhir dari bulan Ramadhan dengan harapan supaya dapat memperolehi malam Lailatul Qadar yang penuh dengan keberkatan dan banyak keistimewaannya itu.
Aisyah Rh.a mengatakan, Rasulullah apabila masuk malam 10 terakhir Ramadan, Baginda menghidupkan malam (dengan ibadat), mengejutkan keluarganya (bangun beribadat), bersungguh-sungguh (dalam beribadat) dan uzlah (mengasingkan diri) daripada isteri-isterinya." (HR Bukhari dan Muslim)
Menurut Imam Syafie r.m, malam Lailatul Qadar itu adalah pada sepuluh malam yang terakhir dari bulan Ramadhan, tetapi pada malam-malam yang ganjil bilangannya ada lebih harapannya. Lebih-lebih diharapkan ialah pada malam yang kedua puluh tujuh, berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan dari Ubai bin Kaab r.a:
"Demi Allah, sesungguhnya aku tahu di malam bilakah Lailatul Qadar itu. Ianya adalah pada malam di mana kami telah diperintahkan oleh Rasulullah SAW melakukan qiamullail, iaitu pada malam yang kedua puluh tujuh."
Berkata Imam Al Ghazali r.m. dan lain-lain ulama: Lailatul Qadar pada malam yang ganjil dalam sepuluh Ramadhan yang akhir. Untuk mengetahuinya, boleh diagak berdasarkan hari apa yang menjadi permulaan puasa.
- Jika 1 Ramadhan jatuh pada hari Ahad atau hari Rabu, maka Lailatul Qadar berlaku pada malam dua puluh sembilan.
- Jika 1 Ramadhan jatuh pada hari Isnin, maka Lailatul Qadar berlaku pada malam dua puluh satu.
- Jika 1 Ramadhan jatuh pada hari Selasa atau hari Jumaat, maka Lailatul Qadar berlaku pada malam dua puluh tujuh.
- Jika 1 Ramadhan jatuh pada hari Khamis, maka Lailatul Qadar berlaku pada malam dua puluh lima.
- Jika 1 Ramadhan jatuh pada hari Sabtu, maka Lailatul Qadar berlaku pada malam dua puluh tiga.
Berkata Syeikh Abu Hasan: "Dari sejak aku baligh tidak pernah aku lepaskan peluang mencari Lailatul Qadar dengan kaedah tersebut."
Kaedah ini hanya panduan, berdasarkan pengalaman orang-orang yang pernah melaluinya. Sebaiknya penuhilah sepanjang Ramadhan dengan ibadah, dan beribadahlah dengan penuh rasa kehambaan.
Orang yang menghayati Lailatul Qadar diampuni dosanya oleh Allah Taala terlebih dahulu dan diberi ganjaran pahala beribadah seperti 1000 bulan.
Sebuah hadis dari Aisyah r.ha menceritakan: "Ya Rasulullah, jika aku bertemu malam Lailatul Qadar, apakah yang patut aku katakan?
Jawab baginda:
"Katakanlah:
اللهم انك عفو كريم تحب العفو فاعف عني
Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf, sukakan kemaaafan, maka maafkanlah segala kesalahanku."
محمد فضلي بن يوسف
03 September 2010Silakan share
(Jika ingin kongsikan di blog, atau di copy paste ke nota anda, sila nyatakan nama saya dan buat pautan ke FB saya, agar saya mudah menjawab segala persoalan yang timbul dari artikel ini. Link terus ke FB saya: http://facebook.com/mfadli11 atau ke note ini, http://www.facebook.com/note.php?note_id=464410441718)
No comments:
Post a Comment