"Manusia menjadi musuh dengan apa-apa yang tidak
diketahuinya. " - ini adalah pepatah orang-orang Arab. Bukan hadis nabi.
Namun demikian, kata-kata ini banyak kebenarannya. Saya sedikit agak
kecewa, bahkan mungkin merungut sedikit. Saya memohon maaf jika tulisan
saya kali ini agak pedas dan keras (syadid) sikit daripada biasa. Hal
ini adalah kerana saya sememangnya tidak gemar apabila seseorang begitu
mudah memberi hukum tanpa usul periksa. Isu memboikot barang-barang
tertentu yang jelas bersekongkol dengan Israel, saya tegaskan bahawa
saya sangat bersetuju dilaksanakan, tetapi lakukan boikot tersebut
dengan bijaksana dan berhikmah. Bukan dengan membuta-tuli atau
berlandaskan kejahilan serta kebodohan yang kita miliki.
Umat
Islam menjadi lemah adalah disebabkan sifat ingin tahu mereka terlalu
rendah. Malah, untuk mencari ilmu pengetahuan pun kita begitu malas.
Umat Islam, khususnya di Malaysia- lebih gemar mendengar khabar angin
daripada menyelidik untuk mencari kebenaran. Lantaran itu, apabila
kejahilan yang kita ikuti pasti akan mendekatkan diri kita ke gaung
kehancuran. Isu memboikot restoran makanan segera KFC telah dilancarkan
secara besar-besaran dalam kalangan bloggers, saya tidak tahu sama ada
ia berlaku secara terancang, mahu pun terjadi atas dasar kejahilan kita
sendiri. Namun demikian, hal ini sedikit sebanyak mengundang rasa kecewa
dalam kalangan pengurus-pengurus kanan KFC Holdings Berhad - dan sudah
tentu juga bagi Pihak Tan Sri Muhammad Ali Hashim, CEO JCorp yang
menguasai syarikat Kulim Berhad, dan pada masa yang sama, Kulim Berhad
merupakan pemegang saham terbesar dalam KFC Holdings Berhad.
Nampaknya,
kejahilan dan kebodohan kita selama ini, telah menyebabkan kita tidak
mahu menyelidik dan mencari kebenaran, malah lebih gemar mendengar
khabar angin daripada realiti. Tidak ramai yang tahu betapa susah dan
gigihnya kumpulan Tan Sri Muhammaa Ali Hashim bertungkus-lumus untuk
beberapa tahun, semata-mata mahu menguasai KFC Holdings daripada tangan
orang lain. Keluar masuk mahkamah dan pelbagai lagi cabaran, demi
memastikan KFC Holdings menjadi milik orang Islam. Namun demikian,
apabila kita malas untuk mencari kebenaran, maka yang kita peroleh
adalah kejahilan. Dan apabila kejahilan yang kita sebarkan ia bukan
sekadar membuka pintu fitnah, bahkan menunjukkan mentaliti umat Islam
yang lebih mudah dipengaruhi oleh khabar angin daripada menyelidik
terlebih dahulu sesuatu maklumat yang diterima.
Sejak akhir-akhir
ini tersebar luas kempen untuk memboikot KFC di seluruh Malaysia, tidak
kurang juga risalah yang bertaburan di masjid-masjid menyeru umat Islam
Malaysia agar memboikot KFC Malaysia. Yang lebih malang, kempen boikot
KFC yang penuh dengan fitnah ini datangnya daripada mulut mereka yang
tahu hukum hakam agama bahkah bergelar Imam dan Ustaz. Padahalnya,
mereka sendiri tanpa sedar menyokong rejim Ziones dengan menghisap rokok
di kaki tangga masjid. Bukankah lebih molek dan baik jika lakukan
kempen membiokot rokok? tidakkah kita tahu rokok itu haram hukumnya?
membawa banyak fasad (kerosakan) ke atas tubuh badan manusia? Dan pelik
apabila ada manusia yang menyuruh memboikot makanan yang halal tetapi
berdiam diri tentang rokok? Mengapa sampai begitu jahilnya kita ini?
Jika kita rasa bahawa kita tidak tahu, sama ada KFC Malaysia terlibat
dalam menyalurkan royalti (bayaran cukai) kepada KFC Amerika Syarikat
yang menyokong Israel, lebih baik kita diam. Jangan membawa fitnah ke
sana ke mari, semata-mata kerana kita sendiri tidak berapa pasti
maklumat tersebut dan hanya mendengar khabar angin.
Saya sempat
menghubungi pegawai-pegawai kanan Tan Sri Muhammad Ali Hashim sebentar
tadi- ternyata mereka sangat kecewa dengan kempen kotor lagi tidak
bermaruah ini. Jelas, masyarakat kita kurang mengambil berat terhadap
kesahihah sumber maklumat dan kurang amanah dalam ilmu pengetahuan.
Perlu dijelaskan, bahawa KFC Malaysia hanya menggunakan jenama (brand)
KFC semata-mata dan tidak membayar apa-apa cukai atau sebarang
keuntungan kepada KFC induk di Amerika Syarikat. Cuma membayar yuran
penggunaan jenama. KFC Malaysia adalah hak milik kita. Ia halal di makan
tidak seperti rokok.
Menurut Pegawai-pegawai kanan Tan Sri
Muhammad Ali Hashim, ini semua adalah fitnah dan boleh menjejaskan
pendapatan para pekerja di restoran-restoran KFC di seluruh Malaysia
yang berjumlah 19 000 orang itu. Malah, rata-rata pekerjanya terdiri
daripada orang Melayu-Islam. Jika para pemboikot itu sanggup menyediakan
pekerjaan baharu kepada mereka, itu tiada masalah, silalah boikot.
Tetapi malangnya, yang kita tahu hanya memboikot, apabila disuruh untuk
menderma ke dalam tabung bantuan rakyat Palestin kita hanya sanggup
masukkan RM 5 saja ke dalam peti derma di tepi pintu masjid. Sekarang,
mari kita bertanya di manakah kita letakkan keutamaan jihad kita?
memboikot sebuah produk yang terbukti salah untuk diboikot atau
menggandakan jumlah derma kita kepada rakyat Palestin? Tepuk dada, tanya
iman dan bukan tanya kepada Aiman.
Saya tegaskan sekali lagi,
tiada salah untuk memboikot - tetapi biar secara bijaksana, berhikmah
dan berilmu. Pilih betul-betul produk yang jelas menyalurkan bantuan
kepada Rejim Ziones tersebut, jangan main sedap boikot saja. Umat Islam
mundur kerana kita ketepikan soal (bijaksana) sebab kita jarang baca
al-Quran. Lantaran itu kita mudah diperkotak-katik oleh bangsa lain.
Adalah lebih baik pada pandangan saya kita boikot semua jenama rokok.
Jelas ia memudaratkan kesihatan, malah jenama syarikat-syarikat besar
rokok antarabangsa belum tentu selamat daripada dikaitkan dengan negara
Israel.
Oleh yang demikian, saya menyeru kepada sesiapa sahaja,
pergilah menjamu selera di restoran-restoran KFC, jangan ragu dan jangan
gusar. Ia bukan sahaja halal, malah KFC Malaysia adalah milik orang
Islam dan tidak terlibat dalam menyumbang wang atau royalti kepada
negara Israel. Malah, ramai yang tidak tahu berapa juta ringgit yang
telah didermakan oleh JCorp hasil keuntungan KFC kepada tabung rakyat
Palestin. Semua ini memerlukan kita berhati-hati sebelum memboikot.
Gambar
: Penulis bersama dengan Tan Sri Muhammad Ali Hashim di Pejabatnya.
Beliau yang bertanggungjawab memperkenalkan Jihad Bisnes dan Jihad
Ekonomi.. Usaha beliau harus dipuji dalam menegakkan Islam melalui
perniagaan.
Sumber : http://virtualfriends.net/article/articleview.cfm?AID=41886YM
No comments:
Post a Comment