MULUT dan lidah dengan fungsinya sebagai alat pertuturan adalah
antara anggota yang liar dan merbahaya. Jika tidak dikawal sewajarnya,
mulut dan lidah boleh mendatangkan fitnah, permusuhan dan kecelakaan.
Hakikat
ini telah disedari oleh para bijak pandai nenek-moyang kita dulu.
Mereka memperkatakannya dalam bentuk bahasa yang indah (peribahasa).
Antara
peribahasa yang berkenaan ialah: "Terlajak perahu boleh diundur,
terlajak kata buruk padanya" dan "Sebab pulut santan binasa, sebab
mulut badan binasa".
Banyak hadis memberi amaran tentang bahaya lisan ini, antaranya:
Diriwayatkan,
Abu Sufyan bin 'Abdullah as-Saqafi telah bertanya kepada Rasulullah,
"Apakah anggota manusia yang paling merbahaya?". Rasulullah menunjukkan
lidah baginda dan bersabda, "Inilah".
"Barangsiapa yang
banyak perkataannya, akan banyaklah silapnya. Barangsiapa yang banyak
silapnya, akan banyaklah dosanya. Dan barangsiapa yang banyak dosanya,
nescaya neraka lebih utama baginya". (Riwayat Abu Nuaim)
"Barangsiapa diam maka ia terlepas dari bahaya". (Riwayat at-Tirmizi)
Antara madah ulama pula ialah:
"Peliharalah lidahmu, kerana lidah itu menempah kebinasaan dirimu" (Ibnu al-Mubarak).
"Jangan gunakan lidahmu untuk berbicara tentang apa yang boleh mematahkan gigimu" (Imam Sufyan al-Tsauri).
"Banyak
diam tidak semestinya bodoh, banyak cakap tidak semestinya cerdik,
kerana kecerdikan itu buah fikiran, orang cerdik yang pendiam lebih baik
dari orang bodoh yang banyak cakap."
Rasulullah ﷺ bersabda:
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ
"Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia BERKATA BAIK atau dia DIAM."
(Hadis dari Abu Hurairah r.a., direkod al-Bukhari dan Muslim)
Di
dalam hadis ini menyebut dua perkara, BERKATA BAIK atau DIAM.
Rasulullah menyebut berkata baik lebih dahulu dari diam, ertinya berkata
yang baik (termasuk menasihati atau menegur masyarakat, pemimpin atau
pemerintah) itu lebih utama.
Jika tidak mampu berkata
baik, maka lebih baik diam. Jika dalam menasihati orang lain, tapi tidak
mampu menasihati dengan baik, tidak boleh kawal emosi, kekurangan ilmu,
maka terlebih baik bagi orang itu ialah diam. Serahkan kepada orang
yang mampu berkata baik dalam menasihati.
Ingatlah, menasihati orang yang bersalah, tidak salah. Yang salah memikirkan kesalahan orang.
Lidah
itu menjadi begitu merbahaya kerana disalahgunakan. Tetapi sekiranya
digunakan sebaik-baiknya, lidah akan mendatangkan kebajikan dan
kebahagiaan dunia dan akhirat.
Penggunaan lidah secara betul dan dituntut ialah untuk:
~ berzikir dan membaca al-Quran,
~ menyampaikan ilmu, nasihat dan dakwah - amar makruf dan nahi mungkar.
~ berdoa kepada Allah Taala.
~ berkomunikasi dengan sesama manusia dalam hal yang diredhai, tidak dimurkai Allah.
Perlu
diingat, dalam menggunakan percakapan yang baik itu, hakikatnya,
"Berkata tentang yang baik mudah. Membuat perkara yang baik susah. Yang
paling susah berikhlas di dalam membuat perkara yang baik."
Penggunaan lidah (pertuturan) yang ditegah ialah:
~ berdusta, (gurauan), atau membuat janji palsu.
Rasulullah
ﷺ bersabda, maksudnya : "Ada tiga perkara yang sesiapa terlibat dengan
satu daripadanya, maka dia adalah munafiq, walaupun dia mengamalkan
puasa dan sembahyang, iaitu apabila bercakap dia berdusta, apa berjanji
dia mungkir dan apabila diamanahkan dia khianati".
~ mengumpat, memfitnahkan orang, menghasut atau menjadi "batu api".
Rasulullah
ﷺ bersabda: "Jauhilah kamu daripada mengumpat kerana mengumpat itu
lebih jahat daripada berzina. Penzina, apabila bertaubat, mungkin
diampuni Allah, tetapi pengumpat tidak diampuni oleh Allah sehingga dia
diampuni oleh orang yang diumpatnya".
Orang yang mengumpat
itu bagaikan melontarkan segala kebajikan ke timur ke barat dan ke kiri
ke kanan, yakni dia menghantar kebajikannya kepada orang yang
diumpatnya. Maka itu, Ibnu al-Mubarak berkata, "Jikalau aku ingin
mengumpat, tentu aku akan mengumpat ibuku sendiri, kerana dialah yang
terlebih berhak mendapat kebajikan daripadaku".
Rasulullah
ﷺ bersabda: "Sewaktu aku berjalan pada malam israk, aku lihat beberapa
puak penghuni neraka sedang makan bangkai. Menjawab pertanyaanku, Jibril
berkata, "Mereka itu ialah orang-orang yang suka makan daging manusia
di dunia'" (Orang-orang yang mengumpat).
Kepada Mu'az bin
Jabal, Rasulullah pernah bersabda: "Putuskan lidahmu daripada mengumpat
ahli al-Quran, penuntut ilmu, dan jangan engkau koyak-koyakkan daging
manusia dengan lidahmu, nanti akan dikoyak-koyakkan dagingmu oleh anjing
neraka".
~ mencacatkan cakap orang, membenarkan cakap sendiri dan berbantahan.
~ memuji diri.
Allah
Taala berfirman, mafhumnya: "Maka jangan kamu mengatakan diri kamu suci
(memuji diri). Dia (Allah) maha mengetahui orang yang bertaqwa"
(al-Najm: 32).
~ mengutuk dan memaki makhluk.
~ mendoakan kejahatan untuk manusia.
~
mengeluarkan kata-kata kotor, kesat, lucah, lucu (lawak yang tidak
benar), sindiran dan gurau-senda dengan tujuan menghina dan memalukan
orang.
Semua yang berkaitan dengan amalan lidah yang
tersebut dikategorikan sebagai "kata-kata haram". Di samping itu, banyak
menuturkan "kata-kata harus (mubah)" yang tidak berfaedah ditegah juga.
Kerana, apabila banyak berbicara, berborak umpamanya, selalunya lidah
tergelincir lalu menuturkan kata-kata yang haram itu. Kalau tidak
demikian pun, sekurang-kurangnya merugikan masa dan mengikut ulama, akan
memanjangkan hisab di akhirat kelak, sebagaimana yang dimaksudkan dalam
syair berikut:
"Jauhilah daripada kata-kata berlebihan, kerana hisabnya nanti berpanjangan."
Malik
bin Dinar bermadah, "Apabila engkau dapati rasa degil bersarang di
hatimu, terasa dhaif (lemah atau malas) beribadat dan sukar mendapat
rezeki, maka ketahuilah, semuanya itu disebabkan oleh ucapan lidahmu
mengenai perkara yang tidak mendatangkan manfaat kepadamu".
Menurut Imam al-Ghazali, kata-kata yang harus dan tidak berfaedah itu akan meimbulkan empat kesan negatif:
Pertama,
menyibukkan malaikat mencatat kata-kata yang sia-sia itu. Sayugianya,
seseorang itu malu dan tidak menyusahkan malaikat itu. Allah berfirman :
"Ingatlah ketika mencatat dua malaikat pencatat amal, satu di kanan dan
satu lagi di kiri dalam keadaan duduk. Tiada satu kata pun yang
diucapkan (oleh seseorang) melainkan di sisinya ada (dua) malaikat
pengawas yang sedia hadir" (Qaaf, 50: 17-18).
Kedua,
kitab (buku catatan kedua-dua malaikat tersebut) akan dipersembahkan ke
hadrat Allah Taala. Oleh itu, seseorang hamba Allah hendaklah takut
kepada Allah dan berhati-hati supaya di dalam kitab itu tidak tercatat
kata-kata yang sia-sia.
Diriwayatkan, seorang alim bertemu
dengan seorang yang sedang mengeluarkan kata-kata yang keji dan tidak
berfaedah. Lalu katanya kepada orang itu, "Amat malang bagimu! Engkau
memenuhi kitab yang akan dipersembahkan ke hadrat Allah. Fikirlah
sendiri, dengan apa engkau penuhi kitab itu!"
Ketiga,
kitab itu akan dibacakan pada hari kiamat di hadrat Allah
Malikul-Jabbar dalam perhimpunan paling agung segala manusia di padang
Mahsyar pada hari kiamat.
Keempat, hamba
Allah yang berkenaan akan mendapat cercaan dan penghinaan kerana
kandungan kitabnya penuh dengan kata-kata yang sia-sia itu. Tiada lagi
hujah baginya untuk membela diri.
Marilah kita
berbermujahadah mengawal pertuturan dari yang haram dan sia-sia. Moga
amalan kita sepanjang Ramadhan khususnya puasa akan diterima Allah
sebagai amal soleh.
Ingatlah pesanan Rasulullah ﷺ:
كَمْ مِنْ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ وَكَمْ مِنْ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ
"Berapa
ramai orang puasa hanya mendapatkan lapar; dan berapa banyak orang yang
mendirikan ibadah di malam hari, hanya mendapatkan penat saja." (HR. Ahmad)
Nota ini hasil dari status Mohd Fadli Yusof
http://www.facebook.com/mfadli11/posts/2322261055616