Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
“Kasih Sayang Disemai Perpaduan Dituai”
(20 JUN
2014/ 22 SYA’BAN 1435H)
Hadirin Mukminin Yang Dirahmati Allah,
Di kesempatan berada pada
hari Jumaat dan pada bulan Sya’ban yang mulia ini, saya berpesan kepada diri
saya dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan
kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala
perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi
keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Bersempena penganjuran Bulan Dakwah Negara 2014, khutbah Jumaat hari ini akan membentangkan tajuk “Kasih Sayang Disemai, Perpaduan Dituai.”
Sidang Jemaah Yang Dikasihi,
Kasih sayang yang murni hanya lahir daripada naluri yang
suci dengan panduan syariat Islam. Kasih sayang adalah fitrah semulajadi manusia. Islam juga
adalah agama fitrah yang sentiasa memelihara kasih sayang sesama
manusia bagi menjamin bahagia. Lihatlah bagaimana Allah
SWT mengajar kita
untuk
mengekalkan kasih sayang meskipun ketika berlaku sengketa. Firman Allah SWT di dalam surah
al-Mumtahanah ayat 7:
Maksudnya: “Semoga Allah akan mengadakan perasaan kasih sayang antara kamu dengan orang-orang yang
kamu
musuhi dari kerabat kamu itu (dengan
jalan menjadikan mereka insaf dan memeluk Islam). Dan (ingatlah), Allah
Maha Kuasa (atas tiap-tiap sesuatu), dan Allah Maha pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Ayat ini menjelaskan betapa kasih sayang perlu dipelihara dan dipupuk dalam apa jua suasana. Persoalannya, mengapa? Tentu ada hikmah besar daripada pedoman
ini yang perlu kita fahami. Lantaran kepentingan berkasih sayang, mari kita lihat beberapa faktor yang mendorong kita untuk mengekalkannya: Pertama: Kasih sayang adalah bukti iman dan jaminan kejayaan di akhirat. Jiwa yang kosong tanpa kasih sayang adalah tanda iman yang
lemah dan tidak sempurna. Bukankah Rasulullah SAW pernah menyatakan betapa iman seorang itu tidak dikira sempurna selagi dia belum mampu mengasihi saudaranya seperti mengasihi dirinya sendiri? Justeru, membiarkan diri hidup tanpa perasaan kasih dan sayang kepada insan lain adalah antara tanda kegagalan yang besar pada iman kita.
Malah Allah
telah menyediakan ganjaran yang besar bagi hamba-hambaNya yang hidup di dunia dengan berkasih sayang. Renungi hadith
yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Abu Said al-Khudri, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang hidup berkasih sayang akan dilihat
kamar-kamar
mereka di syurga seperti bintang-bintang
yang indah
berseri
yang terbit di sebelah timur atau barat. Maka baginda ditanya; “Siapakah mereka itu?” lantas dijawab,
“Mereka itulah
golongan
manusia
yang hidup berkasih sayang
kerana Allah Azza wa Jalla.”
Kedua: Penyelamat dari sifat-sifat buruk yang merosakkan masyarakat
Percayalah..Kasih sayang akan melahirkan sikap hormat
menghormati,
bertoleransi dan bertolong bantu dalam masyarakat.
Ia juga dapat memadamkan dendam, hasad dengki,
perasaan benci, iri hati dan sebagainya. Kasih sayang
akan melahirkan insan
terbaik dalam sesebuah kelompok masyarakat. Bukankah Rasulullah pernah menegaskan perihal ini dalam sebuah hadis yang diriwayatkan
oleh
Ibnu Majah daripada Abdullah bin ’Amru RA, katanya:
Bermaksud: “Rasulullah SAW ditanya tentang siapakah manusia terbaik? Baginda menjawab; “Setiap orang yang
lembut hatinya dan benar lisannya. Para sahabat berkata: “Benar lisan telah pun
kami faham, tapi apakah maksud lembut hati itu?
Baginda menjelaskan: “Itulah orang yang bertaqwa, bersih hatinya tiada dosa dan noda, tiada benci dan dengki di dalamnya.”
Ketiga: Membentuk kesatuan dan perpaduan umat Islam
Bayangkanlah..Tanpa kasih sayang, hidup manusia ibarat haiwan di hutan belantara. Yang gagah dan berkuasa akan mengganas
dan menindas. Manakala yang lemah dan kerdil dilanyak dan diperas. Sedangkan Islam menganjurkan cara hidup bermasyarakat
yang harmoni dan aman sentosa, sentiasa berkasih sayang dan prihatin terhadap insan di sekeliling, bahkan hidup bagai bersaudara. Yakinlah..kasih
sayang inilah yang pasti akan menyatukan hati-hati umat Islam walaupun kita berbeza fahaman dan
ideologi. Inilah yang digambarkan dalam
sebuah hadis tentang gaya hidup insan beriman. Imam
Muslim meriwayatkan
daripada Nu’man bin Basyir, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Bermaksud: “Perumpamaan orang-orang beriman dalam berkasih sayang, belas kasihan dan perasaan simpati mereka adalah seperti sebatang tubuh. Jika salah satu anggota mengadu sakit, seluruh tubuh akan turut merasakannya sehingga berjaga malam dan demam.”
Subhanallah. indahnya perumpamaan sebuah realiti
kehidupan. Bukankah pepatah melayu juga ada menyebut ‘Cubit peha kiri, peha kanan terasa juga’? Rasa bersama
dan prihatin sebegini hanya akan lahir daripada limpahan kasih sayang. Waspadalah
kita kerana tanpa kasih sayang, rasa persaudaraan akan pudar
dan
tautan kejiranan pun akan longgar, akhirnya kekuatan umat
islam pasti luntur dan ini akan membuka ruang kepada musuh-musuh islam untuk
mengambil kesempatan. Justeru, amat benarlah ungkapan ‘kasih sayang disemai, perpaduan dituai’ Sesungguhnya hanya dengan perpaduan barulah kita dapat membina kejayaan,
kecemerlangan dan kegemilangan.
Sidang Jemaah yang Dikasihi,
Setelah menyedari betapa besarnya peranan kasih
sayang dalam hidup, maka inilah masanya.. kita perlu menyiapkan usaha-usaha menyemai kasih sayang agar perpaduan
yang diimpikan menjadi kenyataan. Untuk itu, mari kita jayakan beberapa langkah ke
arah merealisasikan cita-cita murni ini, antaranya:
Langkah pertama: Sentiasa bertegur sapa dan bermanis muka
Islam sangat memandang tinggi hubungan baik
sesama
manusia. Ucapan
selamat
dan memberi salam ketika bertemu adalah amalan mulia yang dijanjikan ganjaran yang besar. Ini kerana perlakuan ini memberi impak yang besar dalam menjamin
keharmonian hidup. Bahkan Rasulullah SAW tidak membenarkan kita memandang kecil amalan tersenyum dan berwajah ceria. Perhatikanlah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Zar RA, Rasulullah SAW bersabda:
Bermaksud: “Jangan sekali-kali kamu memandang rendah apa jua kebaikan, biarpun sekadar bertemu saudaramu dengan wajah yang ceria.”
Langkah kedua: Sentiasa prihatin dan memberi bantuan kepada insan lain
Orang-orang beriman diibaratkan seperti sebuah binaan yang
teguh berdiri kerana mereka saling kuat-menguatkan antara sesama mereka. Amat mengambil berat
terhadap insan-insan lain yang hidup di sekeliling mereka. Rasulullah SAW pernah
mengingatkan para
sahabat agar melebihkan kuah apabila memasak untuk diagih-agihkan kepada jiran tetangga. Baginda juga
pernah memberi amaran betapa tidak sempurna iman seorang muslim yang kekenyangan membiarkan jiran sebelahnya dalam kelaparan. Begitulah indahnya agama yang dibina di
atas kasih sayang ini. Di samping itu, baginda juga menganjurkan agar kita saling memberi hadiah untuk mengeratkan kasih sayang dan
merapatkan hubungan.
Langkah ketiga: Menghormati hak orang lain dan menjaga maruah mereka Sedarlah bahawa orang yang dihormati
akan mudah mengasihi
dan orang yang dijaga hak mereka akan mudah memberi. Realiti ini menjadikan Islam adalah agama yang sangat
memelihara
hak dan maruah
manusia. Demi
kepentingan ini, hentikanlah budaya mencela, menghina,
memfitnah, mendedahkan keaiban dan seumpamanya. Sebuah hadith riwayat Imam al-Bukhari
daripada Ibnu Umar RA menceritakan kepada kita perihal ini yang
bermaksud: “Muslim adalah saudara muslim yang lain. Dia tidak boleh menzalimi saudaranya dan membiarkannya teraniaya. Seseiapa yang
menunaikan hajat saudaranya kelak Allah menunaikan pula hajatnya. Sesiapa yang melepaskan musibah saudaranya, kelak Allah melepaskannya dari musibah di hari Kiamat dan sesiapa yang menutup aib seorang muslim, kelak Allah menutup aibnya di hari Kiamat.”
Sidang Jemaah Yang Dikasihi,
Begitulah hebatnya peranan kasih sayang dalam membina perpaduan. Semoga kita dapat bersama-sama menjayakan usaha murni ini demi memastikan
kehidupan
yang bahagia di dunia dan kesejahteraan
yang abadi di akhirat nanti. Di antara kesimpulan yang dapat kita ambil daripada khutbah hari ini ialah:
Pertama: Berkasih sayang sesama manusia adalah fitrah murni yang perlu dipupuk bagi menjamin perpaduan. Sesungguhnya jika
kasih sayang benar-benar
disemai,
perpaduan pasti dituai.
Kedua: Islam sangat memandang tinggi apa juga perlakuan yang dapat memupuk kasih sayang kerana ia adalah agama yang membawa rahmat.
Ketiga: Langkah-langkah membina perpaduan umat perlu dijayakan oleh setiap Muslim berpandukan al-Quran dan al-Sunnah.
Di penghujung khutbah, sekali lagi mimbar menyeru para jemaah
yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita hayati gambaran kasih sayang seperti yang telah dipraktikkan di zaman Rasulullah dan para sahabat sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah al-Fat’h ayat 29:
Maksudnya: “Nabi
Muhammad (SAW) ialah Rasul Allah; dan
orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan
tegas terhadap orang-orang kafir yang
(memusuhi Islam), dan sebaliknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri. Engkau lihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. ”
No comments:
Post a Comment