Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...

Friday 20 June 2014

Khutbah Jumaat : “Kasih Sayang Disemai Perpaduan Dituai” - 20 JUN 2014/ 22 SYA’BAN 1435H


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Kasih Sayang Disemai Perpaduan Dituai

(20 JUN 2014/ 22 SYA’BAN 1435H)

Hadirin Mukminin Yang Dirahmati Allah,

Di kesempatan berada pada hari Jumaat dan pada bulan Sya’ban yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Bersempena penganjuran Bulan Dakwah Negara 2014, khutbah Jumaat hari ini akan membentangkan tajuk Kasih Sayang Disemai, Perpaduan Dituai.

Sidang Jemaah Yang Dikasihi,

Kasih sayang yang murni hanya lahir daripada naluri yang suci dengan panduan syariat Islam. Kasih sayang adalah fitrah semulajadi manusia. Islam juga adalah agama fitrah yang sentiasa memelihara kasih sayang sesama manusia bagi menjamin bahagia. Lihatlah bagaimana Allah SWT mengajar kita untuk mengekalkan kasih sayang meskipun ketika berlaku sengketa. Firman Allah SWT di dalam surah al-Mumtahanah ayat 7:


Maksudnya: Semoga Allah akan mengadakan perasaan kasih sayang antara kamu dengan orang-orang yang kamu musuhi dari kerabat kamu itu (dengan jalan menjadikan mereka insaf dan memeluk Islam). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa (atas tiap-tiap sesuatu), dan Allah Maha pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

Ayat ini menjelaskan betapa kasih sayang perlu dipelihara dan dipupuk dalam apa jua suasana. Persoalannya, mengapa? Tentu ada hikmah besar daripada pedoman ini yang perlu kita fahami. Lantaran kepentingan berkasih sayang, mari kita lihat beberapa faktor yang mendorong kita untuk mengekalkannya: Pertama: Kasih sayang adalah bukti iman dan jaminan kejayaan di akhirat. Jiwa yang kosong tanpa kasih sayang adalah tanda iman yang lemah dan tidak sempurna. Bukankah Rasulullah SAW pernah menyatakan betapa iman seorang itu tidak dikira sempurna selagi dia belum mampu mengasihi saudaranya seperti mengasihi dirinya sendiri? Justeru, membiarkan diri hidup tanpa perasaan kasih dan sayang kepada insan lain adalah antara tanda kegagalan yang besar pada iman kita. Malah Allah telah menyediakan ganjaran yang besar bagi hamba-hambaNya yang hidup di dunia dengan berkasih sayang. Renungi hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Abu Said al-Khudri, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang hidup berkasih sayang akan dilihat kamar-kamar  mereka  di syurga  seperti  bintang-bintang  yang indah  berseri  yang terbit di sebelah timur atau barat. Maka baginda ditanya; Siapakah mereka itu?lantas  dijawab,  Mereka  itulah  golongan  manusia  yang  hidup  berkasih  sayang kerana Allah Azza wa Jalla.

 

Kedua: Penyelamat dari sifat-sifat buruk yang merosakkan masyarakat

Percayalah..Kasih sayang akan melahirkan sikap hormat menghormati, bertoleransi dan bertolong bantu dalam masyarakat. Ia juga dapat memadamkan dendam, hasad dengki, perasaan benci, iri hati dan sebagainya. Kasih sayang akan melahirkan insan terbaik dalam sesebuah kelompok masyarakat. Bukankah Rasulullah pernah menegaskan perihal ini dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah daripada Abdullah bin Amru RA, katanya:

Bermaksud: Rasulullah SAW ditanya tentang siapakah manusia terbaik? Baginda menjawab; Setiap orang yang lembut hatinya dan benar lisannya. Para sahabat berkata: Benar lisan telah pun kami faham, tapi apakah maksud lembut hati itu? Baginda menjelaskan: Itulah orang yang bertaqwa, bersih hatinya tiada dosa dan noda, tiada benci dan dengki di dalamnya.

 

Ketiga: Membentuk kesatuan dan perpaduan umat Islam

Bayangkanlah..Tanpa kasih sayang, hidup manusia ibarat haiwan di hutan belantara. Yang gagah dan berkuasa akan mengganas  dan menindas. Manakala yang lemah dan kerdil dilanyak dan diperas. Sedangkan Islam menganjurkan cara hidup bermasyarakat yang harmoni dan aman sentosa, sentiasa berkasih sayang dan prihatin terhadap insan di sekeliling, bahkan hidup bagai bersaudara. Yakinlah..kasih sayang inilah yang pasti akan menyatukan hati-hati  umat Islam walaupun kita berbeza fahaman dan ideologi. Inilah yang digambarkan dalam sebuah hadis tentang gaya hidup insan beriman. Imam Muslim meriwayatkan daripada Numan bin Basyir, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Bermaksud: Perumpamaan  orang-orang beriman dalam berkasih sayang, belas kasihan dan perasaan simpati mereka adalah seperti sebatang tubuh. Jika salah satu anggota mengadu sakit, seluruh tubuh akan turut merasakannya sehingga berjaga malam dan demam.

 

Subhanallah. indahnya perumpamaan sebuah realiti kehidupan. Bukankah pepatah melayu juga ada menyebut Cubit peha kiri, peha kanan terasa juga? Rasa bersama dan prihatin sebegini hanya akan lahir daripada limpahan kasih sayang. Waspadalah kita kerana tanpa kasih sayang, rasa persaudaraan akan pudar dan tautan kejiranan pun akan longgar, akhirnya kekuatan umat islam pasti luntur dan ini akan membuka ruang kepada musuh-musuh islam untuk mengambil kesempatan. Justeru, amat benarlah ungkapan kasih sayang disemai, perpaduan dituaiSesungguhnya hanya dengan perpaduan barulah kita dapat membina kejayaan, kecemerlangan dan kegemilangan.

Sidang Jemaah yang Dikasihi,

Setelah menyedari betapa besarnya peranan kasih sayang dalam hidup, maka inilah masanya.. kita perlu menyiapkan usaha-usaha menyemai kasih sayang agar perpaduan yang diimpikan menjadi kenyataan. Untuk itu, mari kita jayakan beberapa langkah ke arah merealisasikan cita-cita murni ini, antaranya:

Langkah pertama: Sentiasa bertegur sapa dan bermanis muka

Islam sangat memandang tinggi hubungan baik sesama manusia. Ucapan selamat dan memberi salam ketika bertemu adalah amalan mulia yang dijanjikan ganjaran yang besar. Ini kerana perlakuan ini memberi impak yang besar dalam menjamin keharmonian hidup. Bahkan Rasulullah SAW tidak membenarkan kita memandang kecil amalan tersenyum dan berwajah ceria. Perhatikanlah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Zar RA, Rasulullah SAW bersabda:


Bermaksud: Jangan sekali-kali kamu memandang rendah apa jua kebaikan, biarpun sekadar bertemu saudaramu dengan wajah yang ceria.

 

Langkah kedua: Sentiasa prihatin dan memberi bantuan kepada insan lain

Orang-orang beriman diibaratkan seperti sebuah binaan yang teguh berdiri kerana mereka saling kuat-menguatkan antara sesama mereka. Amat mengambil berat terhadap insan-insan lain yang hidup di sekeliling mereka. Rasulullah SAW pernah mengingatkan para sahabat agar melebihkan kuah apabila memasak untuk diagih-agihkan kepada jiran tetangga. Baginda juga pernah memberi amaran betapa tidak sempurna iman seorang muslim yang kekenyangan membiarkan jiran sebelahnya dalam kelaparan. Begitulah indahnya agama yang dibina di atas kasih sayang ini. Di samping itu, baginda juga menganjurkan agar kita saling memberi hadiah untuk mengeratkan kasih sayang dan merapatkan hubungan.

Langkah ketiga: Menghormati hak orang lain dan menjaga maruah mereka Sedarlah bahawa orang yang dihormati akan mudah mengasihi  dan orang yang dijaga hak mereka akan mudah memberi. Realiti ini menjadikan Islam adalah agama yang sangat memelihara hak dan maruah manusia. Demi kepentingan ini, hentikanlah budaya mencela, menghina, memfitnah, mendedahkan keaiban dan seumpamanya. Sebuah hadith riwayat Imam al-Bukhari daripada Ibnu Umar RA menceritakan kepada kita perihal ini yang bermaksud: Muslim adalah saudara muslim yang lain. Dia tidak boleh menzalimi saudaranya dan membiarkannya teraniaya. Seseiapa yang menunaikan hajat saudaranya kelak Allah menunaikan pula hajatnya. Sesiapa yang melepaskan musibah saudaranya, kelak Allah melepaskannya dari musibah di hari Kiamat dan sesiapa yang menutup aib seorang muslim, kelak Allah menutup aibnya di hari Kiamat.

Sidang Jemaah Yang Dikasihi,

Begitulah hebatnya peranan kasih sayang dalam membina perpaduan. Semoga kita dapat bersama-sama menjayakan usaha murni ini demi memastikan kehidupan yang bahagia di dunia dan kesejahteraan yang abadi di akhirat nanti. Di antara kesimpulan yang dapat kita ambil daripada khutbah hari ini ialah:

Pertama: Berkasih sayang sesama manusia adalah fitrah murni yang perlu dipupuk bagi menjamin perpaduan. Sesungguhnya jika kasih sayang benar-benar disemai, perpaduan pasti dituai.

Kedua: Islam sangat memandang tinggi apa juga perlakuan yang dapat memupuk kasih sayang kerana ia adalah agama yang membawa rahmat.

Ketiga: Langkah-langkah membina perpaduan umat perlu dijayakan oleh setiap Muslim berpandukan al-Quran dan al-Sunnah.

Di penghujung khutbah, sekali lagi mimbar menyeru para jemaah yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita hayati gambaran kasih sayang seperti yang telah dipraktikkan di zaman Rasulullah dan para sahabat sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah al-Fath ayat 29:


      Maksudnya: Nabi Muhammad (SAW) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaliknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri. Engkau lihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya.

 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...